20160118

Ahmad Aidil Amin Menangi Perak Dalam Kejohanan Taekwando USM


Ahmad Aidil Amin bin Abd. Razak dari Kelas 5B/2016 telah memenangi pingat perak dalam
Kejohanan Taekwando Terbuka USM Tahun 2015.

Beliau pemegang tali pinggang biru mewakili Kelab Tekad Teguh (KTT) Negeri Terengganu dalam kategori Light Middle. KTT telah menghantar seramai 70 orang peserta dalam pelbagai kategori.



Farah Fariena: Juara Dunia Silat Remaja H-Puteri





 

Pesilat Negara, Farah Fariena Mohd. Zain cuba menjatuhkan lawannya dari Vietnam, Dao Thi Hong Nhung pada perlawanan akhir Kejohanan Silat Remaja Dunia 2015, di Stadium Titiwangsa hari ini.


KUALA LUMPUR - Skuad pelapis silat remaja negara, Farah Fariena Mohd. Zain terus unggul apabila menewaskan pesilat Vietnam, Dao Thi Hong Nhung pada Kejohanan Silat Remaja Dunia 2015 di Stadium Titiwangsa, malam ini.
     Pada pertarungan edisi ketiga itu, pesilat kelahiran Terengganu ini tidak memberi peluang kepada Dao Thi apabila membuat beberapa jatuhan untuk meraih keputusan 5-0 kategori H Puteri.
     "Perlawanan ini sangat sukar terutamanya bertemu dengan pasukan Vietnam yang pasti memberi tentangan yang hebat. Namun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk bangkit.
     "Syukur selama ini usaha saya berhasil apabila memperolehi emas keenam negara dalam acara silat remaja dunia ini," katanya kepada Kosmo! selepas tamat perlawanan hari ini.
     Sementara itu, dalam perlawanan akhir kedua tidak menyebelahi wakil pesilat puteri negara, Amirah Izwana Samsul Bahri apabila tewas kepada pesilat Thailand, Puntiyakon Phimpisan 0-5.
     Sehingga kini, Malaysia telah memenangi lima pingat emas pada kejohanan itu dalam kategori silat seni berpasukan lelaki dan wanita semalam.
     Kejohanan itu disertai seramai 128 atlet, 44 pegawai dan jurulatih dari 12 negara iaitu Singapura, Australia, Azerbaijan, India, Jerman, Bangladesh, Rusia, Vietnam, Korea Selatan, Thailand, Indonesia serta Malaysia selaku tuan rumah. - K! ONLINE






Bacaan tambahan: Perkembangan dunia persilatan.

MALAYSIA muncul juara Kejohanan Silat Remaja Dunia selepas mengutip 15 pingat emas di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
_________________________________________________________________________________________________________________________________________________

SILAT mungkin tidak popular seperti sukan bela diri yang lain seperti taekwondo dari Korea Selatan, Muay Thai dari Thailand atau Jiu Jitsu dari Jepun, tetapi sukan seni mempertahankan tradisional dari Nusantara itu makin dikenali dan diterima oleh masyarakat di seluruh dunia.
    Selepas beberapa usaha yang dilakukan oleh Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dalam memartabatkan seni pertahankan diri itu ke pentas dunia hampir menjadi kenyataan selepas beberapa negara Eropah dan Korea Selatan menyatakan minat terhadap sukan tempur tersebut.
Setiausaha Agung Pesaka, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, selepas 30 tahun silat dikembangkan ke seluruh dunia, sukan bela diri itu telah mendapat sambutan hangat apabila tahun lalu lebih 45 negara telah menyertai Kejohanan Dunia Silat kali ke-16 di Phuket, Thailand dan tidak mustahil jumlah itu akan meningkat pada kejohanan sama di Bali tahun ini.
     Katanya, penganjuran acara silat dalam Sukan SEA sebelum ini dan perlawanan sulung acara silat pada temasya Sukan Asia bagi tahun 2018 dilihat mampu menjadi platform terbaik untuk dikembangkan.
Menurutnya, peluang itu mampu membuka lembaran baharu kepada penggiat seni pertahanan diri di negara ini untuk berkongsi ilmu serta kemahiran dengan pengamal silat di seluruh dunia. Silat kini mula terkenal di negara-negara seperti Azerbaijan, Jerman, Belanda, Rusia, Sepanyol, Belanda, Itali, Perancis dan terbaharu berjaya menembusi ke Korea Selatan.
     “Jika melihat kembali pada Kejohanan Remaja Dunia di Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini, Korea Selatan telah menghantar pesilat yang ramai dan prestasi mereka sema­kin meningkat walaupun baru diperkenal awal tahun lalu.
     “Di sana (Korea) mereka serius untuk mempelajari seni bela diri ini dan cara mereka melakukan latihan juga secara bersistematik. Apa yang saya kagumi adalah mereka sudah mempunyai gelanggang sendiri serta ahli yang terdiri daripada orang Korea. Ini membuktikan silat mendapat sambutan daripada penduduk di Korea walaupun ia adalah budaya Melayu.
     “Jika taekwondo, wushu dan sebagainya mudah diperkenalkan kepada negara-negara luar kenapa kita tidak boleh. Saya yakin peluang ini mampu membuka lembaran baharu kepada pesilat kita untuk menukar kepakaran masing-masing.
     “Pada Mac ini, kita akan ke Korea untuk mengadakan perjumpaan bersama wakil-wakil jurulatih di seluruh daerah di Seoul. Di sana nanti jurulatih-jurulatih kita akan bersama mereka untuk belajar mengenai silat.
     “Selepas segala latihan dijalankan, saya difahamkan setiap daerah mereka akan tubuhkan satu pusat pembelajaran mengenai silat ini. Saya percaya suatu hari nanti Korea mampu menjadi kuasa baharu silat dan tidak mustahil mampu untuk menewaskan pasukan negara,” katanya kepada Kosmo! semalam.
     Jelasnya lagi, dia tidak risau mengenai peningkatan prestasi negara-negara luar seperti Korea Selatan mahupun Vietnam. Malah ia adalah satu cabaran sukan yang sihat.
     “Kita lihat pasukan luar bersungguh-sungguh untuk mempelajari silat dan jika pasukan negara leka serta berada pada tahap sama tidak mustahil kita akan ketinggalan. Namun saya percaya, pada kejohanan Remaja Dunia di Titiwangsa minggu lalu, skuad pelapis remaja negara berada dalam kelas tersendiri,” katanya.
     Skuad remaja negara mempamerkan taring di ge­langgang edisi ketiga itu apabila muncul juara keseluruhan edisi ketiga di Stadium Titiwangsa dengan kutipan 15 pingat emas, enam perak dan lima gangsa menerusi acara silat olahraga dan silat seni.
     Tambah Megat, selain Korea Selatan, pihaknya akan ke Azerbaijan, Baku buat julung kalinya untuk mengembangkan sukan silat ini selepas negara tersebut berhasrat untuk mempertandingkan silat dalam kejohanan Sukan Perpaduan Negara Islam 2017.
     “Pihak kita sentiasa optimis dan mahu mengembangkan sukan silat ini ke seluruh dunia. Azerbaijan telah menghantar kira-kira 20 pesilat dalam Kejohanan Remaja Dunia, baru-baru ini untuk menimba pengalaman.
     “Kita lihat mereka (Azerbaijan) mempunyai potensi yang hebat kerana ketika ini mereka telah mempunyai lebih 10 kelab yang terdiri dari pesilat remaja. Kami akan ke Azerbaijan bersama guru-guru silat pada Februari ini selepas mereka berhasrat untuk mempertandingkan silat dalam kejohanan Sukan Perpa­duan Negara Islam 2017,” katanya.
    Katanya, sepanjang mereka di sana pihaknya akan turut ke negara yang tidak pernah kenal mengenai silat sebelum ini se­perti Uzbekistan, Turkmenistan, Kazakhstan dan Tajikistan untuk memperkembangkan silat ini ke serata dunia. Beliau berharap dapat terus memperkasakan pentas silat di mata dunia.